Tiba hujung minggu yang dinanti, kami pon joli. Peduli apa dengan kerja sekolah. Malam sebelum hari sekolah boleh disiapkan. Sambil dimarahi Ayah atau Emak. Baju? Aku, Bangah dan Ayong kena gosok sendiri. Kerana dah besar. Adik-adik lain Emak atau Nenek boleh gosokkan. Kasut? Aku punya memori lemah. Seingat aku, setiap hari Isnin pasti tersedia kasut sekolah kami. Putih berseri selepas dikapur, hampir bersinar. Cukupku jaga keadaan kasut pada hari Isnin. Pantang sungguh kalau ada kawan terpijak. Pastiku balas balik. Geram.
"Kamu balik je sekolah, Atuk terus ambil kasut yang bersepah tu. Cuci dan kapur. Kalau hujan, dikeringkan bawah peti ais," kenang Emak.
Atuk.
Atuk lelaki pendiam, tidak banyak bicara. Dalam memori masa kecilku hanya ingat Atuk yang saban hari menggilap motor dan basikal tuanya. Pernah Eman atau Amad pinjam motor Atuk dan pulang sambil meredah hujan. Apa lagi. Habis dimarah Atuk. Penat Atuk bersihkan setiap besi-besi rim motornya sampai berkilat. Satu lagi yang aku ingat, setiap kali menjelang waktu sembahyang, Atuk dah bersiap. Berkain pelikat, baju melayu dan berkopiah. Lalu berbasikal tua ke surau. Tapi itu semua dulu.
Dulu, sebelum penyakit lupa durjana itu datang. Aku tidak pernah menyalahkan takdir, kerana aku tahu Allah lah sebaik-baik perancang. Dia yang Maha Mengetahui. Tapi aku ini manusia lemah, selalu tewas kepada nafsu - marah, geram, tidak sabar. Aku tidak sanggup mengimbau memori tatkala Atuk dihantar pulang ke rumah oleh orang masjid, kerana lupa jalan pulang. Bila Atuk bertanya nilai wang yang dipegangnya, kerana lupa mengira. Baru sampai peringkat ini sahaja air mataku dah bercucuran.
Brain tumor. Waktu ini Atuk sudah wajib mengambil Donepezil dan Quetiapine. Ubat yang membantu mengawal penyakitnya. Walaupon pada tahap ini semua orang dipanggil Atuk dengan panggilan yang sama, sekurang-kurangnya Atuk tidak bertindak ganas berbanding sebelum mengambil ubat. Tapi bulan demi bulan berlalu, keadaan Atuk merosot. Doktor tidak syorkan pembedahan, memandangkan usia Atuk yang tua. Pergi ke tandas, hatta minum air sekalipon perlu ada kami untuk membantu.
Emakkulah orang paling tabah dalam dunia. Akulah orang paling kurang sabar. Baru lima saat kubawa air untuk Atuk minum, diberi makan, Atuk mengadu sudah tiga hari tidak diberi makan. Masakan aku tidak melenting. Aku tahu aku memang tidak patut marah, bukannya aku tidak maklum keadaan Atuk. Tapi aku gagal. Inilah yang paling kukesal. Setiap kali aku berazam jadi lebih sabar. Tapi aku gagal ujianNya. Menangis lagi.
Pernah aku terfikir, kenapa Atuk diberi ujian sebegitu? Sakit itu kifarah dosa. Itu sahaja yang aku dapat semacam sesuai jawapannya. Selainnya, aku rasa bukan Atuk yang sedang diuji. Atuk sudah nyanyuk, setiap perlakuannya tidak lagi dikira dosa. Jadinya, kami orang sekelilingnyalah yang sedang diperhati. Banyaknya dosaku terhadap Atuk, ya Allah. Itu baru terhadap Atuk. Dosa lain? Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah!
To be continued.
No comments:
Post a Comment